BAB III: Raja Balikasha Dan Raja Shaksha Bermusuhan 3.3

on Apr 17, 2009

Sardal dan Kamdakata, setelah meninggalkan negerinya, tiada pula terus menuju ke negeri yang hendak mereka perangi itu. Sebaliknya mereka hanya menghantarkan sebahagian daripada bala tentera mereka, diketuai oleh empat orang pahlawan, supaya pergi dahulu ke negeri Biru Hasha Purwa. Maka berjalanlah keempat-empat pahlawan bersama tentera mereka menuju ke negeri Biru Hasha Purwa. Apabila mereka tiba ke Gunung Darkili, mereka pun chuba mendakinya, tetapi telah dihujani dengan batu-batu besar oleh orang-orang Saghjalam dari atas gunung itu. Hal ini menyebabkan ramai orang-orang Indera Puri Negara yang mati terbunuh. Namun demikian, mereka terus juga mencuba mendaki, tetapi tiada berjaya kerana serangan orang-orang Saghjalam makin bertambah hebat. Akhirnya percubaan mendaki itu dihentikan, lalu berkampungIah mereka di kaki gunung itu menantikan kedatangan ketua mereka Sardal dan Kamdakata.


Selang dua bulan lama-nya, Sardal dan Kamdakata serta orang-orangnya sampailah ke gunung itu. Apabila dilihat oleh mereka berdua, orang-orangnya sedang duduk berkampung di kaki gunung itu, mereka segera bertanya, "Mengapa kamu sekalian berhenti di bawah gunung ini, tiada mendaki?" Maka diceritakanlah oleh keempat-empat ketua hulubalang akan hal Saghjalam bersama orang-orangnya berada di atas gunung Darkili itu yang menyerang mereka apabila sahaja mereka hendak mendaki gunung itu.


Kedua hulubalang bersaudara itu pun segera berfikir mencari jalan hendak memerangi Saghjalam dan orang-orangnya. Sejurus kemudian bersetujulah mereka untuk menebas gunung itu. Maka segala orang-orang Sardal dan Kamdakata yang tidak terperi ramainya itu berkerjalah menebas segala pohon-pohon kayu yang tumbuh dikaki gunong itu hingga lengang kelihatan tempat itu.


Melihat perbuatan Sardal dan Kamdakata hendak membersihkan tempat itu, Saghjalam pun mula merasa cemas, lalu segera memerintahkan orang-orangnya supaya mengundurkan diri dengan mengikut jalan lain yang menuju ke negeri mereka. Tetapi sebaik sahaja diketahui oleh Sardal dan Kamdakata bahawa Saghjalam telah mengundurkan diri, mereka terus memerintahkan hulubalang-hulubalangnya supaya mengejar Saghjalam dan orang-orangnya dengan masing-masing membawa daun kayu yang lebat supaya Saghjalam tidak akan dapat melihat bekas tapak kaki mereka, sebab mereka takut jilatannya yang bisa itu.


Akhirnya bertemulah raayat Sardal dan Kamdaka dengan rakyat Saghjalam, lalu mereka berperang beramuk-amukan terlalu hebat bunyinya.


Walaupun dalam peperangan itu, rakyat kedua-dua pihak banyak yang mati, tetapi orang-orang Sardal dan Kamdakata kelihatan lebih gagah dan disebabkan terlalu kuat dan hebat serangan mereka, tiadalah tertahan orang-orang Saghjalam menentangnya. Mereka pun terus berundur lalu masok ke dalam kota.


Melihat rakyat tenteranya lari mengundurkan diri itu, Maharaja Balikasha sangatlah marah lalu mengadakan persiapan perangnya. Setelah lengkap segala-segalanya, baginda segera mengeluari rakyat Sardal dan Kamdakata yang ketika itu bersedia menanti di luar kota diketuai oleh seorang pahlawan yang bersama Bahkadata. Terlalulah hebat serangan Maharaja Balikasha itu, sehingga banyaklah musuh yang dibunuhnya. Yang lain sekaliannya lari bertempiaran melindungkan diri.


Ada pun tujuan Maharaja Balikasha itu hendak memerangi Sardal dan Kamdakata jua supaya segera selsai pekerjaannya itu. Tetapi orang yang hendak diperangi belum lagi tiba. Oleh kerana tiada sabar menanti, baginda Maharaja Balikasha pun segera menitahkan orang pesuruhnya pergi memberitahu Sardal dan Kamdakata supaya mereka segera datang ke kota Biru Hasha Purwa untuk berperang.


Menerima utusan itu, Sardal dan Kamdakata serta rakyat sekaliannya pun mempercepatkan perjalanan mereka ke negeri Maharaja Balikasha itu. Apabila tiba, mereka terus berkampung di luar kota itu, menanti saat untuk berperang.

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

About

 
© mahabharata All Rights Reserved